Sunday, October 24, 2010
Islamic Fashion Festival Calar Kehormatan Orang Islam
Kita sering mendengar berkenaan penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W ini hanya terjadi di kalangan orang-orang kafir sahaja. Ini kerana mereka sendiri tidak berpuas hati dan bersetuju dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W . Mereka juga sentiasa mencuba pelbagai cara
dan wasilah untuk menunjukkan rasa benci mereka terhadap ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.
Apa yang menyedihkan lagi, perbuatan sekutuk ini bukan hanya didominasi oleh orang kafir sahaja, malah sekarang ini orang Islam sendiri juga bersubahat dan tidak ketinggalan untuk turut sama menghina junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dengan tanpa disedari.
Baru-baru ini heboh berkenaan penganjuran Islamic Fashion Show atau Islamic Fashion Festival yang kononnya ingin memperagakan pemakaian secara Islam yang sebenar, tetapi malangnya disebalik niat baik tersebut terdapat unsur-unsur yang menghina kemulian junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W di tempat yang tidak selayaknya. Jika kita melihat kepada gambar di atas, kelihatan seorang model yang memperagakan pakaiannya dan di dadanya terdapat tulisan nama Nabi Muhammad S.A.W yang ditulis dalam keadaan terbalik. Suasana bertambah buruk lagi apabila model tersebut tidak menutup aurat sepertimana yang dikehendaki oleh syarak. Adakah layak bagi seorang Nabi yang menjadi sanjungan ummat seluruh alam diperagakan sebegini rupa? Sudahlah nama yang mulia tersebut diletakkan pada tempat yang tidak sesuai, malah dihina pula dengan pakaian yang sedikit pun tidak menunjukkan ciri-ciri wanita muslimah berdasarkan tujuan asal festival tersebut di anjurkan.
Apa yang lebih memalukan lagi, penganjuran program sebegini rupanya didalangi oleh beberapa individu yang merupakan orang-orang besar dan berpengaruh dalam kepimpinan di Malaysia. Adakah layak bagi sikap kepimpinan sebegini mendapat tempat dan sanjungan daripada masyarakat? Perbuatan sebegini sungguh memalukan dan mencalarkan nama baik Islam itu sendiri dengan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab menganjurkan dan memberi sumbangan bagi menjayakan majlis yang menimbulkan rasa kemarahan ummat Islam seluruh dunia amnya dan secara khusus di Malaysia.
Berdasarkan isu ini eloklah kita melihat dari segi pandangan syarak berkenaan permasalahan ini seperti berikut :
1) Ciri-ciri pakaian muslimah yang sebenar
2) Hukum menghina Nabi S.A.W.
1) Ciri-ciri pakaian muslimah yang sebenar
Maksudnya : “Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya”. ( Surah An-Nuur, Ayat 31 ).
Berpandukan ayat ini jelas kepada kita, menunjukkan cara pakaian muslimah sebenar yang dituntut oleh Islam adalah seperti yang dinyatakan dalam ayat Al-Quran di atas. Jika kita melihat kepada majlis yang dianjurkan pada baru-baru ini adakah ia memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh Islam? Malah model tersebut memperagakan pula kepada penonton yang sudah pasti tiada hubungan kekeluargaan yang dibolehkan oleh syarak untuk melihatnya. Dan kebiasaannya, pertunjukkan fesyen ini jelas terdapatnya unsur-unsur maksiat kerana sama ada ia diperagakan oleh seorang model perempuan mahupun seorang lelaki, ia merupakan suatu perkara yang boleh menaikkan syahwat kepada sidang penonton yang melihat aksi model-model tersebut. Maka perbuatan ini jelas haram di sisi jumhur ulamak.
Nas Ulamak Berkenaan Pengharaman Tersebut :
1) Berkata Imam Muhammad Amin Ibn ‘Abidin dalam kitabnya Hashiyyah Ibn ‘Abidin : “Tidak dibolehkan melihat sesuatu sudut pun dari bentuk badan seorang wanita yang ajnabi, kerana pengharaman melihat itu kerana takut timbulnya fitnah disebabkan perhiasan yang terdapat pada tubuh badan seorang wanita. ( Hashiyyah Ibn ‘Abidin, jilid 3, m/s 261 ).
2) Berkata As-Syeikh Al-‘Adawi dalam kitabnya Hashyiah kepada Syarah Al-Kharasyi : “Tidak dibolehkan bagi seorang wanita muslimah menunjukkan perhiasan tubuh badannya kepada orang kafir, walaupun wajah dan kedua tapak tangan bukanlah aurat pada asalnya”. ( Hashiyyah Al-‘Adawi, juzuk 1, m/s 347 ).
3) Berkata Imam An-Nawawi dalam kitabnya Majmuk : “Apabila melihat seorang lelaki kepada wanita yang ajnabiah dengan tanpa sebab yang munasabah, maka di haramkan kepadanya untuk melihat walaupun tidak melihat kepada aurat pelempuan tersebut”. ( Majmuk, juzuk 16, m/s 138 ).
Ini antara beberapa pandangan ulamak berkenaan pandangan seseorang kepada wanita, dan di sini jelas berlaku unsur-unsur kemaksiatan ketika festival tersebut sedang berlangsung. Umumnya di sini, pengharaman aktiviti memperagakan fesyen adalah sangat jelas, kerana banyak batas-batas agama yang tidak dijaga dalam majlis tersebut, seperti :
1) Peraga fasyen lelaki / wanita mendedahkan aurat kepada sidang penonton.
2) Percampuran antara lelaki dan perempuan dalam majlis tertutup yang boleh menimbulkan fitnah.
3) Membangkitkan syahwat sidang penonton ketika melihat model mengenakan pakaian yang menjolok mata.
Semua ini secara pastinya berlaku ketika majlis tersebut berlangsung, maka majlis ini secara dasarnya adalah dilarang oleh syarak berdasarkan dalil yang telah dilampirkan di atas. Setelah kita mengetahui tentang pengharaman festival tersebut yang mempunyai unsur-unsur maksiat, jadi bagaimana pula hukum berkenaan dengan salah seorang daripada model ketika memperagakan pakaiannya yang tertulis nama Nabi Muhammad S.A.W secara terbalik di dadanya? Adakah ini dikatakan sebagai fasyen yang berbentuk islamik, tetapi melihat kepada pakaian model tersebut tidak melambangkan ciri-ciri pemakaian muslimah yang sebenar? Perkara ini jelas salah satu penghinaan terhadap Islam dan menghina Rasulullah S.A.W itu sendiri dengan meletakkan sesuatu yang mulia di tempat yang hina dengan melakarkan nama baginda di pakian yang sedemikian.
2) Hukum Menghina Nabi S.A.W
Mengenai hukum penghinaan Nabi ini suatu hukum yang dibahas panjang oleh para ulamak, kerana ia berkait dengan masalah akidah. Jumhur ulamak bersepakat bahawa, "walaupun sesorang itu mengakui bahawa Allah S.W.T itu tuhan yang patut di sembah, tetapi tidak beriman dengan Rasulnya, maka ia tetap dikira sebagai seorang yang kufur dari sudut pandangan Islam". Ini menunjukkan bahawa nilai seorang Rasul menurut pandangan syarak. Berdasarkan kemuliaan ini, adakah layak bagi mereka yang cuba untuk mempersendakan Nabi yang telah banyak berjasa kepada ummat Islam seluruhnya sebegitu rupa?
Menurut pandangan Ulamak terhadap penghinaan Nabi boleh di ringkaskan seperti berikut :
Penghinaan Daripada Orang Islam
1) Berkata Qadhi E’yadh : “Telah bersepakat sekalian ulamak bahawa membunuh dikalangan orang Islam yang mencerca dan menghina Nabi S.A.W”. (As-Syifa’ Bi Ta’rif Huquq Al-Musthofa, jilid 2, m/s 211).
2) Berkata Abu Bakar Ibn Al-Munzir : “Sepakat para ahli ilmu bahawa menjatuhkan hukum bunuh bagi mereka yang menghina Rasulullah S.A.W”. (Tabqaat As-Syafi’ah Al-Kubra, jilid 3, m/s 102).
3) Berkata Abu Sulaiman Al-Khattabi : “Aku tidak mengetahui bahawa ada pendapat yang berbeza pada menjatuhkan hukum bunuh bagi mereka yang Islam menghina akan Nabi Muhammad S.A.W”. (Mukhtasar As-Sunan, juzuk 6, m/s 199 ).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment