Islam adalah agama sahih yang amat menitikberatkan kesejahteraan manusia termasuklah dalam menentukan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat berkait rapat dengan kesihatan jasmani dan rohani. Gabungan kesihatan fizikal dan kerohanian akan menentukan prestasi pekerjaan dan tempoh hayat seseorang. Dengan demikian, kesihatan menjadi harta yang amat bernilai dalam kehidupan seseorang.
Pemakanan yang berlebihan atau kandungannya yang tidak seimbang sering menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, darah tinggi, penyakit buah pinggang, kanser dan sebagainya. Perkembangan penyakit kronik di negara kita amat membimbangkan. Sebagai contoh, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa ini terdapat 1.3 juta pengidap kencing manis di negara kita dengan nisbah setiap 10 orang terdapat seorang berpenyakit kencing manis. Untuk mengawal keadaan ini ke arah mengekalkan prestasi kesihatan yang lebih baik, maka Islam menggalakkan umatnya bersederhana dalam pengambilan makanan dan minuman.
Selain amalan berwudhuk, solat fardhu lima waktu dan solat sunat (nawafil) yang lain juga berkeupayaan memberi ketenangan dan mengawal tekanan hormon dalam badan manusia. Solat yang khyusuk mampu memberi kesegaran kepada anggota badan dan membina kecergasan minda. Solat yang khyusuk adalah solat yang sempurna yang melibatkan tumpuan penuh fizikal dan hati kepada Allah SWT. Dalam usaha mencapai hakikat khyusuk ini, maka kita hendaklah bermula dari amalan mengambil wudhuk dengan sempurna, melaksanakan solat dengan cermat dari segi bacaan, qiyam, rukuk, iktidal, sujud, thoma'ninah serta memahami isi bacaan.
No comments:
Post a Comment