PETALING JAYA, 4 Julai — Dilihat sebagai perkembangan mengejutkan, Bersih 2.0 akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong sambil berkata gabungan itu berhasrat untuk menghadap baginda sebelum Sabtu ini dan bersedia membatalkan perhimpunan jika diminta berbuat demikian.
Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) yang baru sahaja balik daripada mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pagi ini mengumumkan pendirian itu pada sidang media di sini tengah hari ini.
Ambiga berkata keputusan itu dibuat pada satu mesyuarat yang diadakan malam tadi ekoran titah Yang di-Pertuan Agong.
“Bersih 2.0 menjunjung penghargaan yang tinggi ke atas Yang di-Pertuan Agong atas sokongan baginda berhubung aspirasi melakukan pembaharuan sistem pilihan raya.
“Bersih 2.0 akan akur dengan nasihat baginda agar diadakan perundingan, ke arah mencapai konsensus berhubung pembaharuan sistem pilihan raya dan pembangunan demokrasi di Malaysia,” kata beliau dengan membacakan kenyataannya di sini hari ini.
Ambiga menambah Bersih 2.0 akan menulis kepada Istana Negara hari ini untuk meminta perkenan diadakan satu pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau enggan menyatakan apabila ditanya sama ada perhimpunan itu secara rasmi telah dibatalkan memandangkan baginda menekankan bahawa demonstrasi jalanan akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Sebaliknya kata Ambiga, satu pengumuman rasmi akan dibuat sebaik sahaja pertemuan itu menjadi kenyataan.
Apabila ditanya sama ada pihaknya akan membatalkan perhimpunan atas permintaan baginda kelak, Ambiga berkata: “Ya.”
No comments:
Post a Comment